Hawa bertemu adam dan berkawan. Mereka serasi bersama dan bercinta. Lalu merancang untuk hidup bersama . Adam bertemu keluarga hawa untuk meminta izin dan memperkenalkan diri dengan lebih lanjut.
Lupa untuk diberitahu, adam seorang lepasan spm dan hawa lepasan sarjana. Adam sudah berkerjaya dan mempunyai pendapatan tetap namun JENAMA kerjayanya kurang terkenal manakala hawa baru sahaje mula bekerja sebagai pegawai kerajaan yang amat dibanggakan oleh masyarakat setempat. Adam juga tiada keluarga dan hawa lengkap keluarganya. Adam hidup sendiri di kota, hawa bahagia bersama keluarga.
Mana kan mungkin enggang dan pipit terbang bersama. Manakan pondok disamakan dengan istana. Yang mana mungkin menjadi punca penerimaan, adakah harta mahupun taraf pendidikan. Keluarga mana yang mahukan cela untuk permatanya? Ibu mana mahu melihat intannya derita? Bapa mana mahu melihat mutiaranya pudar warnanya.
Namun, keluarga hawa menerima adam dengan hati terbuka. Melalui hati barulah jelas kelihatan tangan adam itulah yang kasar kerana rajin dan komitmen terhadap kerjayanya. Pandangan dengan hati menampakkan jiwa lembut seorang anak yang menjaga ibunya seorang diri di akhir hayatnya. Penglihatan melalui hati, barulah tersurat seorang adam yang bekerja setelah tamat pengajian kerana hidup tanpa bapa. Maka doakanlah mereka bahagia.
Tetapi, manusia hidup bermasyarakat. Berbunyi jua jiran tetangga lantas mengguris hati ibu hawa. Goyah lagi pendirian mereka terhadap adam. Adam redha dengan ketetapanNya yang bukan untuknya. Hawa merintih kerana luka sebahagian hati dibawa pergi. Dan Manusia hanya mampu merancang.
Hawa bakal dijodohkan dengan pilihan keluarga, eh mungkin pilihan masyarakat setempat. Adam yang ini berjawatan di jabatan kerajaan. Pertemuan pertama kali ayah hawa dengan adam lalu bersalam dan cium tangan. Tangan adam lembut seprti tiada calar sama sekali. Mukanya bongkak menyusun kata. Soalan dilontarkan ayah hawa, bagai angin menyapa pipi. Tidak diambil peduli kerana mata melihat bayang hawa di balik tabir. Diulang soalan sama barulah ayah hawa mendapat jawapan yang diharapnya. Ayah hawa mengatakan bahawa kesihatan hawa terganggu lantas meminta adam kembali keesokkan harinya dengan rombongan merisik.
Rombongan merisik tiba membawa sebentuk cincin pusaka nenda adam. Sebelum itu, sengaja ibu hawa diminta berbaring seperti tenat oleh ayah hawa. Dilumurkan najis agar bilik pembaringan ibu hawa berbau hancing. Tatkala tiba rombongan merisik, ayah hawa keluar membeli makanan untuk menjamu tetamu yang diundang. Hawa diminta menjaga ibunya di pembaringan. Adam dipanggil masuk berjumpa ibu hawa dan tetamu lain diminta berehat di ruang tamu bersama datuk hawa. Hawa memberitahu adam agar membantunya membawa ibunya ke bilik air untuk dibersihkan dan itu adalah permintaan ayah hawa. Terkeluar isi perut adam tatkala melangkah masuk ke bilik pembaringan ibu hawa. Terfikir adam sejenak mendengar permintaan hawa, lantas meminta izin untuk bertemu dengan rombongan yang dibawanya. Hawa mengangguk setuju dan setia menanti disisi ibunya. Ayah hawa pulang bersama kuih-muih untuk menjamu tetamunya, namun hanya datuk hawa yang ada tersenyum melihatnya.
Disinilah terletaknya harga sebuah penghormatan, sebagaimana adam melayan ibunya atau ibu mertuanya, begitu jugalah dia akan melayan hawa sebagai isteri. Jika adam tidak mampu membawa ibu mu untuk bersuci, mampukah dia menyucikan kamu tatkala kamu tiada kemampuan itu?.Ayah hawa nekad untuk memilih adam yang tiada kerjaya impian masyarakat itu. Apa yang penting, di waktu sakit hawa si mutiaranya, di kala jijik mata-mata lain memandang hawa si intannya, adam mampu bertahan kerana sayang dan kerana hormat kepada isterinya.
Hari ini, persandingan diantara hawa dan adam tiada kerjaya impian masyarakat berlangsung. Keluarga hawa kini tuli daripada bunyi-bunyian masyarakat setempat dan bisu apabila diajak menyertai forum masalah keluarga mereka.
RESTU ayah dan ibu menyinari sebuah dunia baru, tanpanya mungkin akan gelap sepanjang perjalanan atau pun terang menyilau mata sehinggakan banyak yang tidak kelihatan.